ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Kampar: Seorang pemandu lori parah manakala 12 lagi mangsa termasuk pemandu dan penumpang sebuah bas ekspres terselamat dalam kemalangan di Kilometer 310.6, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Hino dengan bas ekspres dinaiki 11 penumpang dan seorang pemandu yang dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati lori dipandu lelaki itu dalam perjalanan dari arah Ipoh ke ibu negara dan sebaik tiba di lokasi kejadian dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang bas ekspres yang sedang bergerak ke arah sama.

“Akibat rempuhan itu pemandu lori, Aziz Ismail, 41, yang berasal dari Simpang Empat, Semanggol, dekat sini, parah akibat tersepit di bahagian pemandu.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan manakala pemandu bas berusia 29 tahun dan semua penumpang 11 penumpang bas tidak cedera,” katanya ketika dihubungi, sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 6:40 AM