KEDIAMAN Muhammad Noriman dipecah masuk malah Honda CBR 250R miliknya turut dilarikan tiga penjenayah. FOTO Siti Nor Amirah Abu Bakar
Siti Nor Amirah Abu Bakar
am@hmetro.com.my


SUAMI isteri kerugian kira-kira RM15,000, termasuk motosikal berkuasa tinggi Honda CBR 250R dilarikan penjenayah, selepas rumah mereka di Seksyen 19, Shah Alam dipecah masuk, hari ini.

Ketika kejadian, Muhammad Noriman Md Ariff, 27, dan isteri, Nur Intan Badrina Md Ghazali, 25, tidur di bilik utama.

Muhammad Noriman berkata, pada jam 4.30 pagi, isterinya ke bilik air dan menyedari satu daripada pintu bilik yang sebelum itu tertutup didapati terbuka.

“Isteri kemudian menutup semula pintu bilik itu dan memeriksa sekitar rumah tetapi tidak menemui apa-apa yang menghairankan.

“Dia kemudian masuk semula ke bilik tidur utama dan mengunci pintu,” katanya.

Menurutnya, kira-kira jam 6 pagi, jirannya mengetuk pintu bilik tidur mereka berikutan pintu rumah terbuka kerana ia dipecah.

“Jiran memaklumkan, sebelum itu mereka ternampak seorang lelaki menolak motosikal saya dan dua lagi rakan subahatnya ada sama,” katanya.

Menurutnya, penjenayah mengambil kunci Honda CBR 250 di ruang tamu.

Selain itu, katanya, penjenayah turut melarikan jam tangan Tissot berharga RM3,000 serta beg tangan isteri mengandungi dokumen penting serta wang tunai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

“Penjenayah melarikan motosikal Honda CBR 250R, dokumen, jam tangan serta wang tunai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 8:50 PM