Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


Kajang: Seorang pemilik bengkel membaiki motosikal berkuasa tinggi tergamam apabila 24 motosikal berkuasa tinggi bernilai lebih RM1 juta yang diletakkan di dalam premisnya musnah terbakar.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari semalam, kebakaran mendadak turut memusnahkan premisnya terletak di Taman Kasturi, Balakong, di sini.

Difahamkan api marak dari dalam premis berkenaan secara mendadak ketika mangsa dan pekerja bengkel turut berada di dalam premis.

Bagaimanapun, mereka berjaya menyelamatkan diri apabila menyedari premis terbabit terbakar.

Dua anggota bomba sukarelawan yang berusaha membantu memadamkan kebakaran itu bagaimanapun gagal berikutan api terlalu marak.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian jam 12.49 tengah hari.

Katanya, seramai 17 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dan BBP Serdang dikerahkan ke lokasi bagi operasi memadamkan kebakaran.

“Kebakaran membabitkan sebuah bangunan tiga tingkat dan kebakaran berlaku di tingkat bawah iaitu membabitkan bengkel motosikal berkuasa tinggi.

“Kejadian menyebabkan bengkel berkenaan terbakar 100 peratus dan anggota bomba berjaya mengawal api pada jam 1.25 petang.

“Difahamkan kejadian menyebabkan sebanyak 24 motosikal berkuasa tinggi dan tujuh motosikal ‘kapcai’ yang berada di bengkel terbabit musnah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 7:27 AM
KEADAAN bengkel yang terbakar.