MOHAMED Nazri
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mendenda pemilik hotel dan premis penginapan yang tidak berdaftar dengan kementerian.

Sebelum ini, kementerian mengumumkan pelaksanaan dasar baru yang mana cukai pelancongan akan dikenakan terhadap pelancong asing yang tinggal di semua jenis premis penginapan pada kadar RM10 bagi setiap bilik satu malam.

Manakala, warganegara Malaysia yang tinggal di hotel tiga bintang dan ke bawah tidak perlu membayar cukai pelancongan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kementerian akan memastikan semua pemilik premis penginapan mematuhi dasar baru itu dan tiada pengecualian bagi mereka biarpun tidak mendaftar di bawah kementerian.

“Semua jenis premis penginapan akan dikenakan cukai dan bagi rumah penginapan yang memiliki lima bilik ke bawah tiada cukai dikenakan, namun bagi pengendali yang memiliki lima rumah, sudah pasti cukai berkenaan akan diambil kira.

“Bagaimanapun, tarikh pelaksanaan cukai pelancongan akan diputuskan pihak kastam,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Unit Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CEDU) Malaysia dan Australia, semalam.

Mohamed Nazri berkata, pihaknya percaya lebih banyak premis penginapan akan tampil mendaftar berikutan berkuatkuasanya Akta Cukai Pelancongan.

“Kita sudah mengadakan pertemuan dengan mereka sejak tahun lalu dan tiada lagi alasan kementerian tidak bersemuka dan berapa banyak lagi perbincangan perlu dilakukan?” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 5:59 AM