FOTO Muhamad Syafiq Rizuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my


TIGA lelaki termasuk dua remaja bawah umur masing-masing dihadapkan ke di Kuala Terengganu dan Besut atas ruduhan melakukan serangan seksual terhadap gadis 16 tahun.

Tertuduh, Nik Muhammad Ridwan Ma'arof, 21, dari Besut mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan serangan seksual fizikal dengan menyentuh payu dara dan tangan mangsa di kebun kelapa sawit di Besut, antara 6.30 petang hingga 8.30 malam, 15 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 15 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Syairah Mohamad Razali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, dua lagi rakan tertuduh berusia 18 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut atas pertuduhan sama yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Kes mereka yang disebutkan di Kuala Terengganu tetapi kemudian dipindahkan ke mahkamah di Besut.

Bagi kesalahan itu, dua tertuduh juvana itu boleh dikenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran atau tanpa cagaran atau dimasukkan ke sekolah akhlak atau sebatan dengan rotan tidak lebih sembilan kali sebatan atau dikenakan denda atau hukuman asal iaitu penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 9 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula.

Ini kerana hendak menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mereka dibenarkan diikat jamin RM3,500 setiap seorang.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 8:13 PM