Anggota Jabatan Perhilitan dan penduduk Kampung Ubai hari ini, berjaya menangkap buaya tembaga sepanjang kira-kira tiga meter yang dikesan sejak petang semalam. - Foto KHAIRULMIZAN YAHYA
Khairulmizan Yahya
am@hmetro.com.my

PENDUDUK di Kampung Ubai, Kuantan, cemas apabila buaya tembaga berukuran kira-kira tiga meter panjang muncul di perkampungan mereka namun berjaya ditangkap kakitangan Jabatan Perhilitan Negeri Pahang (JPNP), hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang, buaya itu berjaya ditangkap anggota JPNP selepas dilihat muncul di kawasan kebun penduduk kampung sejak petang semalam.

Menurut penduduk, Ahmad Kadri, 40, penduduk kampung yang sedang memikat burung ternampak buaya dipercayai betina itu di satu awasan kebun.

“Berita kemunculan reptilia ini tersebar luas sebelum penduduk kampung sepakat ke kawasan kebun untuk melihat sendiri haiwan berkenaan.

"Buaya itu menjadikan kawasan tali air Sungai Penor berhampiran kebun berkenaan sebagai sarangnya.

“Kami melaporkan kejadian itu kepada JPNP untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui selepas operasi penangkapan haiwan itu dilakukan hari ini.

Ahmad berkata, penduduk kampung lega dengan penangkapan haiwan itu selepas kali terakhir dua harimau ditangkap di kawasan perkampungan mereka kira-kira dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 6:37 PM