Husni (tiga kiri) mengumumkan pelaksanaan sistem kutipan tol secara eletronik sepenuhnya di LPT2 bermula 14 Ogos 2017. FOTO Rozainah Zakaria
Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


SEMUA transaksi 10 plaza tol yang beroperasi di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) akan dikendalikan secara elektronik sepenuhnya bermula 12 malam 14 Ogos ini.

Pengurus Besar LPT2, Husni Md Yusuf berkata, bermula dari tarikh itu semua pengguna hanya boleh membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, Touch 'n Go dan SmartTAG kerana tiada lagi transaksi tunai dilaksanakan.

Menurutnya, pihaknya menggesa orang ramai supaya mendapatkan kad berkenaan bagi mengelak kesulitan ketika transaksi tol nanti.

"Semua 10 plaza tol yang terbabit ialah Plaza Tol Cheneh, Chukai, Kijal, Kerteh, Paka, Dungun, Bukit Besi, Ajil, Telemong dan Kuala Terengganu.

"Sebelum ini kira-kira 64 peratus pengguna sudah melakukan transaksi melalui sistem elektronik di plaza tol di LPT2," katanya ketika sesi taklimat kepada media mengenai pelaksanaan sistem kutipan tol secara elektronik di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurutnya, transaksi tol secara elektronik adalah 300 peratus lebih pantas berbanding bayaran tunai.

Katanya, sebuah lorong tunai hanya mampu mengendalikan 180 kenderaan dalam tempoh satu jam berbanding sistem elektronik yang menggunakan Touch 'n Go iaitu sebanyak 600 kenderaan dalam tempoh sama.

Menurut Husni, lorong SmartTAG pula boleh mengendali 1,000 kenderaan dalam tempoh sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 2:16 PM