WAN Junaidi (tengah) merasmikan Majlis Pembukaan Seminar Antarabangsa Mengenai Isu Semasa Hutan dan Hasil Perhutanan Kali ke-18 dan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Perhutanan (ASOF) kali ke-20, semalam.
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my

Putrajaya: Fenomena jerebu teruk yang pernah melanda negara ini pada 2015 tidak akan berulang lagi tahun ini walaupun terdapat kebakaran hutan di Indonesia, baru-baru ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan Indonesia memberi jaminan sepenuhnya kepada Malaysia dan Singapura yang mereka sudah bersiap sedia untuk menangani jerebu termasuk memadam kebakaran hutan dengan segera.

“Indonesia mengambil langkah secara besar-besaran dan proaktif dalam menangani masalah jerebu termasuk mengerahkan tentera, polis serta pegawai tempatan, selain menambah keperluan aset.

“Kita percaya tindakan sistematik dan agresif yang dilakukan oleh Indonesia dalam menangani jerebu dapat mengelak masalah pencemaran itu daripada berlaku pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pembukaan Seminar Antarabangsa Mengenai Isu Semasa Hutan dan Hasil Perhutanan Kali ke-18 dan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Perhutanan (ASOF) kali ke-20, di sini, semalam.

Katanya, walaupun wujud kebimbangan jerebu akan melanda Malaysia kerana terdapat titik panas di Kalimantan, pihaknya tetap berpegang dengan jaminan diberi Indonesia.

Semalam, Agensi Mitigasi Bencana Indonesia (BNPB) memberi amaran mengenai peningkatan ancaman kebakaran hutan berikutan cuaca kering yang dijangka bertambah buruk di Aceh, sekali gus menyebabkan wilayah itu mengalami jerebu.

Bagaimanapun, Agensi Pemulihan Tanah Gambut Indonesia memberi jaminan negara jiran seperti Malaysia dan Singapura tidak mengalami jerebu kerana pihaknya sudah mengambil langkah baru untuk menghentikan kebakaran hutan.

Indonesia sering mengalami kebakaran hutan sehingga menyebabkan asap tebal merebak ke Malaysia seperti mana berlaku pada 2015.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, walaupun sebanyak 200 titik panas dikesan di Indonesia pada tahun lalu, fenomena jerebu tidak berlaku di rantau ini.

“Indonesia sudah mematuhi garis panduan seperti yang dikeluarkan oleh ASEAN menerusi Pelan Tindakan Bebas Jerebu menjelang 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2017 @ 5:21 AM