Abd Rahman (kiri) bersama rakan jemaah bergambar dalam kawasan Masjidil al-Aqsa selepas menunaikan solat Subuh di luar masjid itu, hari ini. - Foto Ihsan YAYASAN AL AMIN
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my

“ALHAMDULILLAH, ok. Orang Palestin memboikot enggan masuk ke Masjidil al-Aqsa sebab membantah kawalan keselamatan yang dilaksanakan Israel. Untuk kita, boleh sahaja.

“Malam tadi dan waktu Subuh hari ini, jemaah kami solat di luar masjid itu untuk menunjukkan solidariti.

“Namun selepas Subuh kami mengambil keputusan masuk masjid, Alhamdulillah tiada masalah,” kata Abd Rahman Talib, 58.

Abd Rahman antara 20 jemaah Malaysia dalam program ziarah Masjidil al-Aqsa anjuran Yayasan Al Amin.

Dia yang dihubungi Harian Metro hari ini, berkata jemaah amat bersyukur kerana di sebalik kekecohan yang dilaporkan, namun mereka masih dipilih untuk mengimarahkan masjid ketiga suci selepas Masjidilharam dan Masjid Nabawi itu.

“Saya berasa sayu dan menangis dapat menjejakkan kaki dalam Masjidil al-Aqsa selepas Subuh tadi.

“Subuh esok kami bercadang solat dalam masjid. Jemaah di masjid itu terlalu sedikit, masyarakat Arab khususnya Palestin memang tak mahu masuk sebab memboikot sekatan keselamatan oleh Israel.

“Namun, bagi saya, peluang untuk solat dan beribadah dalam Masjidil al-Aqsa tidak akan dilepaskan,”  katanya yang menyertai program ziarah itu bersama isteri Siti Sarah Abd Rahman, 57.

Harian Metro Online kelmarin, melaporkan 20 jemaah Malaysia termasuk dua petugas Yayasan Al Amin berangkat ke Jordan dalam program ziarah Masjid al-Aqsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 7:31 PM