Nabihah Kamal
nabihah.kamal@hmetro.com.my

 

 TUJUH suspek termasuk seorang wanita berusia 45 tahun ditahan pagi tadi untuk membantu siasatan kes rogol dua pembantu taska dalam kejadian di Pandan Indah, 14 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, dua mangsa dirogol sebelum disimbah cecair peluntur di seluruh badan.

"Dalam kejadian pada 4 pagi itu, dua lelaki memecah masuk taska sebelum merogol dua wanita yang juga pembantu taska.

"Mangsa dirogol dan disimbah cecair peluntur kononnya untuk menghilangkan bukti sebelum suspek melarikan diri bersama televisyen dan telefon milik mangsa," katanya selepas majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kajang, di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang, pagi tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor, bekas Ketua Polis Daerah Kajang Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan dan Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Fadzil berkata, hasil siasatan berjaya menahan tujuh suspek warga tempatan berusia antara 27 hingga 45 tahun dalam serbuan bermula 5 petang dan berakhir 5 pagi tadi di sekitar Ampang Jaya.

"Semua suspek dibawa ke Mahkamah Ampang hari ini untuk permohonan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 11:52 AM