Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Bukit Mertajam: Dua tong berisi 200 liter bahan kimia Potassium Persulfate (UN 1479) di kilang pembungkusan di Bukit Tengah, di sini, pecah menyebabkan kebakaran kecil, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi, dua tong berisi bahan kimia dibawa untuk disimpan di dalam stor kilang sebelum terjatuh di kawasan luar ruang penyimpanan.

Komander Operasi Hazmat Balai Bomba dan Penyelamat Prai Pegawai Bomba Kanan 1 Mohd Asri Abd Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.40 pagi sebelum tiba pada jam 11.01 pagi.

Beliau berkata, pihaknya tiba dengan 11 pegawai dan anggota termasuk pasukan Hazmat dan mendapati dua tong berisi 200 liter bahan kimia jenis Potassium Persulfate (UN 1479) pecah di luar stor penyimpanan berkeluasan 200 meter persegi.

“Berikutan itu, berlaku kebakaran kecil hasil tindak balas udara. Anggota bomba lengkap berpakaian keselamatan memadamkan kebakaran berkenaan menggunakan alat pemadam api sebelum memasukkan bahan itu ke dalam salvage drum.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan api dikawal sepenuhnya sebelum kerja pembersihan dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 6:57 AM
ANGGOTA Hazmat JPBM membersihkan kawasan dua tong kimia yang tumpah.