IDRIS melancarkan Modul Baharu Kursus Asas Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi di Putrajaya.
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Pembelajaran program keusahawanan di universiti awam (UA) dimantapkan lagi menerusi pengenalan Modul Baharu Kursus Asas Keusahawanan Institut Pendidikan Tinggi yang akan diperkenalkan bermula sesi akademik 2017/2018.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, dengan adanya modul itu, ia tidak hanya menumpukan kepada pengajaran semata-mata, malah turut memberi penekanan terhadap pengalaman penuntut sebagai usahawan di universiti.

“Justeru, penekanan terhadap bidang keusahawanan ini adalah selaras dengan lonjakan pertama untuk melahirkan graduan yang holistik, keusahawanan dan seimbang sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi).

“Modul baru ini akan digunakan sebagai mata pelajaran wajib di universiti dan usaha ini juga adalah untuk melatih penuntut bersikap ‘lebih keusahawanan’ sekali gus persediaan menghadapi dunia yang semakin mencabar,” katanya kepada media pada pelancaran Modul Baharu Kursus Asas Keusahawanan Institut Pendidikan Tinggi, di sini, semalam.

Pelancaran modul baru itu dibuat selepas berlangsung Persidangan Pendidik Keusahawanan 2017 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ia menghimpunkan seramai 300 tenaga pengajar keusahawanan di institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa yang pernah terbabit dengan Program Pendidik Keusahawanan (3EP) sebelum ini.

Dalam pada itu,
Idris berkata, kursus keusahawanan sudah ada di UA sejak lima tahun lalu dan kementeriannya menambah baik dengan penambahan subjek baru seperti keusahawanan digital, kanvas model perniagaan dan pengurusan kewangan peribadi.

Katanya, modul baru itu akan digunakan dalam mata pelajaran wajib dengan membawa dua hingga tiga jam kredit.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penyampaian kursus digabung jalin antara aspek teori sebanyak 40 peratus, manakala praktikal melebihi 60 peratus sepanjang kursus secara optimum bagi memberi pengalaman pembelajaran keusahawanan yang lebih efektif kepada penuntut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 5:24 AM