Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Sindiket penipuan dan penjualan sijil pengesahan (COA) palsu dikesan mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil aktiviti itu melalui beberapa laman web jual beli dalam talian di negara ini.

Malah mereka turut dikesan mengiklankan perisian komputer tiruan dan nombor siri palsu bagi perisian komputer kepada orang ramai.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) daripada Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasa Putrajaya dan KPDNKK Perak menyerbu sebuah premis di Ipoh, Perak, Khamis lalu.

Dalam serbuan jam 3 petang itu, lebih 1,000 pelekat COA dirampas bersama beberapa barangan yang digunakan untuk kegiatan itu dengan nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM864,000.

Bagaimanapun, seorang lelaki yang juga pemilik premis berkenaan berusia 30-an tidak berada di lokasi dipercayai sudah melarikan diri ketika serbuan berdasarkan keterangan daripada pekerjanya.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Cawangan Operasi Khas Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, nilai sitaan itu adalah yang tertinggi pernah direkodkan bagi penjualan barangan tiruan dalam talian.

“Kami sudah menjalankan risikan selama dua bulan di lokasi itu selepas menerima laporan awal daripada pengadu yang memaklumkan berlaku aktiviti penjualan pelekat COA dalam talian.

“Siasatan lanjut mendapati suspek memuatnaik kandungan berhubung penjualan pelekat berkenaan dengan menawarkan harga lebih murah berbanding pelekat asli iaitu serendah RM150 hingga RM250 setiap satu,” katanya.

Berdasarkan siasatan, kegiatan itu mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengguna.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 dan diserahkan kepada KPDNKK Perak untuk siasatan lanjut.

“KPDNKK akan bekerjasama dengan tapak pasar dalam talian yang terbabit supaya menurunkan kandungan iklan yang dimuat naik oleh suspek sebaik notis diberikan kepada mereka untuk berbuat demikian.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dengan penggunaan barangan tiruan. Mereka boleh membuat aduan sekiranya mempunyai maklumat berhubung sebarang aktiviti membabitkan jual beli perisian palsu,” katanya.

COA adalah label digunakan bagi mengenal pasti ketulenan perisian peranti Microsoft Windows.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Julai 2017 @ 11:27 AM