Antara hotel penginapan jemaah haji sepanjang berada di Madinah. (Gambar kecil) Abdul Rahman. FOTO Nasharuddin Muhammad
Nasharuddin Muhammad
nash@mediaprima.com.my


JEMAAH haji diminta memanfaatkan segala kemudahan disediakan di Pusat Perkhidmatan Madinah sepanjang berada di Kota Suci ini sebelum mereka berangkat ke Makkah.

Pengurus Pusat Perkhidmatan Zon 2 Abdul Rahman Yusof berkata, antara kemudahan disediakan di Zon 2 termasuk kaunter kewangan untuk pengeluaran wang, klinik rawatan, kaunter pengeposan barangan kiriman ke tanah air serta kaunter perkhidmatan telekomunikasi i-Talk yang diuruskan Telekom Malaysia Berhad (TM).

Selain itu, katanya, TH juga menyediakan khidmat bimbingan ibadat haji yang dikendalikan oleh dua guru agama, masing-masing seorang untuk jemaah lelaki dan wanita.

Menurutnya, guru agama dikenali sebagai Pembantu Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) sentiasa bersedia membantu jemaah yang berdepan sebarang masalah atau kemusykilan berkaitan ibadat haji.

Beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) juga menyediakan perkhidmatan kaunseling yang dikendalikan dua kaunselor, masing-masing seorang lelaki dan wanita di Pusat Perkhidmatan Zon 2.

Menurutnya, kedua-dua kaunselor terlatih itu sentiasa bersedia memberikan khidmat nasihat mereka kepada mana-mana jemaah yang berdepan sebarang masalah.

Katanya, bagi kaunter pengeposan dan pengiriman barangan tanah air, TH melantik empat syarikat vendor untuk menguruskannya termasuk Pos Malaysia Berhad.

"Dalam hal ini, kita memang menggalakkan jemaah untuk mengepos barangan mereka terutama barangan besar dan berat lebih awal ke tanah air," katanya pada sidang media di Pusat Perkhidmatan Zon 2 di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick, Madinah, semalam.

Menurutnya, terdapat empat hotel penginapan jemaah dalam Zon 2 yang semuanya terletak antara 50 hingga 100 meter dari Masjid Nabawi.

Dalam Zon 1, terdapat dua hotel penginapan dengan Pusat Perkhidmatannya terletak di Hotel Al Haram manakala di Zon 3 terdapat lima hotel penginapan.

Semua hotel penginapan jemaah di Madinah terletak berhampiran Masjid Nabawi dalam jarak antara 50 hingga 300 meter bagi memudahkan mereka berulang-alik untuk beribadat.

"Dalam hal ini, kita amat berharap dan menggalakkan semua jemaah mengambil peluang kedudukan hotel yang berdekatan masjid untuk menunaikan solat lima waktu di masjid.

"Rugi jika jemaah tidak memanfaatkan peluang itu sedangkan kita (TH) sudah berusaha untuk menyediakan kemudahan seperti itu untuk mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 1:50 PM