Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Rosliza Mohamed
am@hmetro.com.my


SEORANG lelaki maut dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Jalan Salor Baru, dekat Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kota Bharu, pagi tadi.

Mangsa, Mohd Azhar Nawi, 26, yang memandu Proton Satria Neo maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Mayat dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia ( HUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Kemalangan membabitkan lima kereta dan dua motosikal turut menyebabkan beberapa mangsa cedera.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, mangsa dari arah Pasir Mas menghala ke Kota Bharu dipercayai cuba memotong kenderaan lain.

Katanya, namun kenderaan yang dipandu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

"Akibatnya mangsa cedera parah dan maut di lokasi kejadian. Mayat dihantar ke HUSM Kubang Kerian untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 12:59 PM