D J Dolasoh
am@hmetro.com.my


SEORANG lagi mangsa kemalangan di Kilometer 56.8, Jalan Kuala Kangsar-Gerik di Kampung Air Kala, Lenggong petang semalam, meninggal dunia menjadikan keseluruhan empat wanita maut.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, Wong Mei, 56, penumpang tempat duduk hadapan Perodua Myvi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

"Mangsa yang parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Taiping.

"Perkembangan terbaru itu sekali gus menjadikan kematian akibat nahas itu kepada empat orang, semuanya wanita yang menaiki Perodua Myvi berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kemalangan 4.30 petang semalam membabitkan tiga kenderaan iaitu Proton Exora, Perodua Myvi dan Kia Spectra.

Tiga wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Foke Yoke Wah, 25, Woke Mei Yong, 44, dan Wong Mee Lai, 47, dengan dua daripada mereka tercampak keluar dari kereta.

Pemandu, Chong Yah Wen, 23, dan Wong Mei ketika itu parah.

Semua mangsa menaiki Myvi itu berasal dari Ipoh.

Turut parah ialah penumpang hadapan Proton Exora yang juga guru, Roslina Othman, 35, manakala suaminya seorang jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB), Saiful Haslim Toat, 35, serta tiga anak lelaki mereka, Muhammad Danial Mirza Saiful berusia tujuh bulan, Muhammad Danial Farish, 5, dan Muhammad Danial Iman, 7, tidak cedera.

Pemandu dan seorang penumpang Kia Spectra yang terbabit dalam kemalangan itu juga terselamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 11:26 AM