Mangsa ditemui anggota bomba dan penyelamat selepas dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Lipis semalam. FOTO ihsan bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


MANGSA ketiga yang dilaporkan hilang selepas mandi di Sungai Lipis Batu 13, Jalan Benta-Kuala Lipis, Lipis, semalam ditemui lemas, 8.42 pagi hari ini.

Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis Shahrulnizam Nasir berkata, mayat G Eswar, 15, ditemui Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Bomba Pahang selepas operasi mencari dan menyelamat disambung pada 8.30 pagi.

"Mangsa ditemui anggota PPDA selepas mereka melakukan pencarian melalui teknik selaman di sungai itu. Mayat dihantar ke Hospital Lipis untuk bedah siasat," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam, S Ravandran, 46, dan anak lelakinya, R Pravendran, 17, ditemui lemas selepas dikatakan mandi di sungai Lipis bersama saudara mereka.

Mayat dua beranak itu ditemui pasukan penyelamat beberapa minit selepas mereka dihanyutkan arus sungai sebelum operasi mencari dan menyelamat mangsa ketiga diteruskan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2017 @ 11:07 AM