KOK dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tiga pertuduhan menerima deposit lebih RM16 juta daripada orang awam tanpa lesen antara 2014 hingga 2015.

Tertuduh, Kok Chee Boon, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama, Kok didakwa menerima deposit berjumlah RM15,163,200 tanpa lesen sah di sebuah premis di 12A, Jalan PJU 3/45, Sunway Damansara Technology Park, Kota Damansara, di sini, antara April hingga Disember 2014.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima deposit daripada orang awam berjumlah RM998,000 tanpa lesen sah di Hong Leong Bank, Damansara Perdana, di sini, antara Ogos hingga November 2014.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima deposit berjumlah RM48,400 di UOB Cawangan Kota Damansara, Jalan PJU 5/8, Dataran Sunway, Kota Damansara antara Januari hingga November 2015.

Bagi ketiga-tiga perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim manakala tertuduh diwakili peguam Al-Firdaus Shahrul Naing.

Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dan Kok diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tertuduh melaporkan diri ke balai polis terdekat sekali sebulan dan menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Kok turut dihadapkan ke Mahkamah Majistret lain, di sini, atas lima pertuduhan menggunakan harta milik Wong Chun Keen berjumlah RM330,560.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah didakwa melakukan perbuatan itu di Aerosia Holding Sdn Bhd, Bandar Puteri, Puchong antara 2015 hingga 2016.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun serta boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy.

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 6:08 AM