Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


POLIS menahan suami isteri selepas menjumpai dadah dipercayai heroin dalam rumah di Taman Paya Rumput Indah, Paya Rumput, Melaka, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pasangan masing-masing berusia 22 dan 23 tahun itu ditahan di dalam rumah ketika serbuan kira-kira 2 pagi.

Menurutnya, suspek pada mulanya enggan beri kerjasama untuk membuka pintu sebelum pintu masuk rumah terbabit dipecahkan.

"Pemeriksaan dalam rumah akhirnya menemukan satu beg kecil yang disembunyikan dalam tandas. Siasatan lanjut mendapati, tujuh paket lutsinar ditemui dipercayai mengandungi dadah heroin dengan berat 351.50 gram, bernilai kira-kira RM8,700.

"Bagaimanapun, saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek negatif," kata Afzanizar, dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita kereta dan motosikal yang dianggarkan bernilai RM15,000.

Menurut Afzanizar, siasatan mendapati suspek lelaki berusia 22 tahun memiliki rekod jenayah narkotik manakala isterinya belum ada rekod jenayah.

Katanya, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula semalam dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 4:06 PM
AFZANIZAR (tengah) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Melaka Tengah, Asisten Superintendan Yap Kok Sheng (kanan) dan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Atika Marzan (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Khairunisah Lokman