Masjid Quba yang bersejarah.
Pemandangan sekitar Bukit Uhud, lokasi berlakunya Perang Uhud yang dirakam dari puncak Bukit Pemanah.
Pasukan petugas media TH mengabadikan kenangan di depan perkuburan syuhada Perang Uhud.
Nasharuddin Muhammad
nash@mediaprima.com.my


Madinah menawarkan banyak lokasi bersejarah menarik yang tidak harus dilepaskan peluang untuk dikunjungi khususnya mereka yang menunaikan ibadat haji atau umrah.

Penulis sendiri berkesempatan mengunjungi beberapa lokasi dan monumen bersejarah di sekitar Kota Suci itu sempena program Ziarah Luar yang diatur Lembaga Tabung Haji (TH) untuk petugas media yang membuat liputan Musim Haji 2017 Masihi/1438 Hijrah.

Peluang mengunjungi lokasi berkenaan benar-benar memberi keinsafan dalam diri khususnya berkaitan perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW serta sahabat baginda dalam mengembangkan dakwah Islam di Kota Suci ini selepas berhijrah dari Makkah sehinggalah tertegaknya negara Islam yang pertama di bumi penuh barakah ini.

Bagi jemaah haji yang akan tiba ke Kota Suci ini secara berperingkat tidak lama lagi untuk perjalanan kerohanian menunaikan Rukun Islam kelima, andai berkesempatan, jangan lepaskan peluang menerokai Kota Suci ini .

Selama ini, yang banyak diketahui mengenai Kota Suci Madinah ini hanya Masjid Nabawi yang menjadi lokasi wajib dikunjungi jemaah haji dan umrah sama ada sebelum atau selepas mereka selesai menunaikan ibadat berkenaan di Makkah.

Hal itu kerana selain mengenai kelebihan ganjaran menunaikan solat di masjid berkenaan, Masjid Nabawi juga terletaknya makam Rasulullah SAW serta dua sahabat baginda iaitu khalifah pertama dan kedua – Saidina Abu Bakar As Siddiq serta Saidina Umar Al-Khattab.

Justeru, sempena musim haji kali ini, jemaah seboleh-bolehnya mencari ruang dan peluang untuk mengunjungi lokasi menarik dan bersejarah di bumi Madinah.

Antaranya, Masjid Quba, Masjid Qiblatain atau Masjid Dua Kiblat, Masjid Tujuh, Bukit Uhud, Perkuburan Baqi’ serta beberapa lokasi bersejarah lain.

Masjid Quba umpamanya adalah masjid pertama dibina Rasulullah SAW ketika mula-mula baginda berhijrah dari Makkah ke Madinah seterusnya mengasaskan negara Islam yang pertama di Kota Suci ini.

Berdasarkan sebuah hadis, seseorang yang mengambil wuduk di rumah atau kediamannya dan kemudian menunaikan solat di masjid berkenaan, pahalanya umpama menunaikan satu umrah.

Kesempatan mengunjungi Bukit Uhud dan kawasan sekitarnya juga membuatkan pengunjung menginsafi betapa besarnya perjuangan Rasulullah SAW serta sahabat dalam mengembangkan agama suci ini.

Betapa tidak, untuk mendaki santai bukit kecil berbatu agak tajam yang terletak betul-betul di depan kawasan Bukit Uhud yang lebih dikenali sebagai Bukit Pemanah dalam keadaan cuaca panas terik dengan suhu sekitar lebih 40 darjah Celsius pun memberikan cabaran besar kepada rombongan petugas media.

Bayangkan keadaan baginda serta sahabat yang mendaki Bukit Uhud yang jauh lebih tinggi serta bukan dalam keadaan santai, sebaliknya menghadapi peperangan menentang musuh Islam ketika Perang Uhud.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 6:40 AM