STESEN MRT Bukit Bintang berhampiran lapan pusat beli-belah.
Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Aktiviti membeli-belah atau bersiar-siar pada hujung minggu kini menjadi mudah dan dekat bagi orang ramai yang memilih menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Di Stesen MRT Bukit Bintang misalnya, penumpang boleh memilih sekurang-kurangnya lapan pusat beli-belah yang terletak bersebelahan stesen berkenaan.

Lima daripadanya sangat strategik dan boleh diakses terus dari stesen berkenaan sebaik penumpang keluar dari pintu tren tanpa perlu menyeberangi jalan raya.

Ia juga boleh digunakan pengguna lain meskipun mereka tidak menaiki perkhidmatan MRT.

Antara pusat beli-belah popular berdekatan stesen berkenaan adalah Lot 10, Pavilion KL, Sungei Wang Plaza dan Plaza Low Yat.

Berdasarkan maklumat yang dikongsikan MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), terdapat 43 pusat beli-belah, pasar raya, pasar basah, restoran makanan segera, restoran atau deretan kedai menjual pelbagai barangan.

Antara tempat beli-belah lain adalah Sunway Nexis dan Giant Kota Damansara yang boleh diakses dari stesen MRT Surian, E-Curve dan Tesco Kota Damansara (Mutiara Damansara), Glo Damansara dan Hero Supermarket (Taman Tun Dr Ismail), BB Plaza yang sedang dibangunkan semula, Fahrenheit 88, Galeri Starhill, Imbi Plaza (Bukit Bintang) dan Aeon Big Jalan Peel (Cochrane).

Di Stesen Stadium Kajang, penumpang MRT boleh menikmati makanan popular yang menjadi identiti daerah itu iaitu Restoran Sate Kajang Haji Samuri yang terletak di depan stesen berkenaan.

Selain itu, pengguna juga boleh akses dengan mudah ke 11 hospital dan pusat penjagaan kesihatan yang terdapat di sepanjang Laluan SBK ini.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, selain menghubungkan pengguna dengan pejabat dan pusat beli-belah, Laluan SBK juga menyediakan akses kepada lebih 40 institusi pendidikan sama ada sekolah rendah hingga ke universiti.

Beliau berkata, projek MRT laluan pertama itu dijangka menyumbang kepada peningkatan nilai sebanyak 111,483.7 meter persegi hartanah, pusat komersial dan kediaman.

Katanya, nilai kasar pembangunan dijangka meningkat pada anggaran RM300 juta setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 6:08 AM