SIMRAN Singh (kanan) didakwa atas pertuduhan melakukan khianat dengan mengundurkan kereta dan melanggar bumper hadapan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


PELAJAR jurusan undang-undang yang video pergaduhannya tular di media sosial berpunca daripada kemalangan Khamis lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan melanggar kereta seorang lelaki.

S Simran Singh, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan mengundurkan kereta dan melanggar bahagian bumper hadapan kereta dipandu Mohd Kamil Mokhtar, 49.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan Pahang menghala Jalan Genting Klang, pada 12.45 tengah hari, 13 Julai lalu.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Melalui video berdurasi 1 minit 14 saat yang dimuat naik pada 16 Julai lalu di Facebook, dua lelaki dilihat bergaduh sejurus kemalangan berlaku manakala beberapa penunggang motosikal mententeramkan keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 3:52 PM