MD Noor menabur bunga rampai di atas pusara isterinya, Madznah bersebelahan pusara anaknya, Norain di Tanah Perkuburan Islam Kampung Solok Dekat, Pengkalan Balak, semalam.
Hassan Omar
am@hmetro.com.my

Alor Gajah: “Tidak dinafikan kehilangan anak dan isteri dalam tempoh 24 jam amat menguji saya dan keluarga. Namun kami reda kerana semua ini sudah ketentuan Allah.

“Bagi kami Allah lebih menyayangi dua beranak itu,” kata Md Noor Asman, 60, selepas isterinya, Madznah Othman, 57, dan anak perempuan bongsu, Norain Md Noor, 22, meninggal dunia.

Katanya, Norain yang juga orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia di rumahnya di Kampung Padang Dekat, Pengkalan Balak, di sini, jam 6.30 petang, Isnin lalu selepas diserang sawan.

Isterinya pula disahkan meninggal dunia pada jam 11 malam kelmarin juga di rumahnya akibat komplikasi buah pinggang dan jantung.

Menurutnya, jenazah Madznah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Solok Dekat, Pengkalan Balak, jam 11 pagi semalam iaitu 24 jam selepas Norain dikebumikan di tanah perkuburan sama.

“Arwah isteri dirawat di wad Hospital Melaka sejak 28 Julai lalu berikutan masalah kesihatannya. Jadi sepanjang tempoh itu Norain jarang berjumpa isteri dan kerap menyatakan rasa rindu pada ibunya.

“Dua beranak itu amat rapat memandangkan Norain anak bongsu daripada tujuh adik-beradik. Sepanjang ibunya tiada di rumah, Norain kerap termenung, tak sangka pula dia akan pergi meninggalkan kami,” katanya.

Md Noor berkata, dia meminta kebenaran doktor untuk membawa isterinya pulang ke rumah bagi menghadiri pengebumian Norain dan dibenarkan berbuat demikian.

Namun, kira-kira jam 10 malam Selasa lalu isterinya mulai nazak sebelum menghembuskan nafas terakhir sejam kemudian. Jenazah Madznah kemudian dikebumikan bersebelahan pusara Norain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 7:22 AM