Najib melancarkan Buku Dasar Keselamatan Negara di Putrajaya sambil diperhatikan Dr Ahmad Zahid, Ali (kiri) dan Zulkifeli.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Dasar Keselamatan Negara yang diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari lalu akan disemak sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh tiga tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan memutuskan untuk menyemak dasar berkenaan sejajar dengan perubahan pantas landskap keselamatan dunia.

“Saya juga mahukan agar semua agensi di peringkat Persekutuan dan negeri dapat merujuk kepada dasar ini dalam penggubalan dasar tertentu.

“Malah, saya juga mahu semakan dan penelitian terhadap dasar sedia ada bagi memastikannya konsisten dengan Dasar Keselamatan Negara, sekiranya tidak konsisten, penambahbaikan dan pengubahsuaian hendaklah dilaksanakan sewajarnya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Buku Dasar Keselamatan Negara, di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Katanya, penerbitan Buku Dasar Keselamatan Negara tepat pada masanya, sekali gus menjadi rujukan kepada kerajaan untuk menjaga keamanan serta keselamatan negara malah, penerbitan itu juga menepati prinsip Maqasid Syariah yang sudah digariskan agama Islam.

Najib berkata, Dasar Keselamatan Negara digubal dan diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari lalu selaras dengan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

“Dasar ini akan menjadi payung dan rujukan kepada dasar sedia ada yang berkaitan keselamatan negara seperti Dasar Keselamatan Dalam Negeri, Dasar Pertahanan Negara dan dasar lain yang menjurus kepada keharmonian hidup rakyat serta negara ini,” katanya.

Katanya, Dasar Keselamatan Negara diperkenalkan sebagai rujukan utama kepada semua agensi Persekutuan dan negeri dalam menggubal dasar sedia ada bagi memastikan negara berupaya mencegah serta menangani pelbagai ancaman keselamatan yang semakin dinamik dan kompleks.

Najib berkata, keselamatan negara pada asasnya merujuk kepada suatu situasi bebas daripada ancaman terhadap nilai teras negara sama ada ia berbentuk ancaman dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, Dasar Keselamatan Negara menetapkan sembilan nilai teras negara antaranya kedaulatan dan keutuhan wilayah serta keselamatan rakyat yang perlu dipertahankan melalui pelaksanaan 20 strategi utama.

“Ia juga antara lain menjadikan Malaysia bebas daripada segala bentuk ancaman sama ada bersifat fizikal mahupun bukan fizikal yang berpotensi mempengaruhi serta merosakkan pemikiran rakyat,” katanya.

Katanya, usaha gigih kerajaan dan pasukan keselamatan negara mengekalkan keamanan serta keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

“Dalam sudut keselamatan siber, Malaysia diiktiraf dan diletakkan pada tangga ketiga daripada 193 negara di dunia oleh Global Cybersecurity Index 2017.

“Malah, Indeks Keamanan Global 2017 meletakkan Malaysia pada kedudukan negara ketiga paling aman di Asia dan ke 29 daripada 163 negara di dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 6:23 AM