Ibrahim, (tiga kanan) menunjukkan air ketum dan pil kuda yang dirampas dalam tiga serbuan di Pasir Mas, pada sidang media di IPD Pasir Mas. FOTO Fathil Asri
Mohamad Zulhairie Manzaidi
am@hmetro.com.my


POLIS merampas 870 pil kuda dan 40 paket air ketum dianggarkan bernilai RM121,450 dalam tiga serbuan berasingan sekitar Pasir Mas awal pagi semalam dan kelmarin.

Turut ditahan lima lelaki berusia 19 hingga 39 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, serbuan pertama pada Isnin di Kampung Lubok Setol menahan seorang lelaki berusia 39 tahun bersama 70 pil kuda.

"Serbuan pada 4 pagi, anggota menemui lelaki itu di dalam rumahnya bersama beg yang menganduni kotak besi menyimpan pil kuda.

"Suspek seorang buruh bagaimanapun tidak mempunyai rekod lampau dan direman selama empat hari sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan kedua hari yang sama, dua lelaki ditahan pada 5.10 petang di belakang sebuah rumah di Kampung Alor Pinggang, Meranti.

Katanya, ketika lokasi itu diserbu, kedua-dua suspek berusia 19 dan 26 tahun sedang membungkus 40 paket air ketum yang sudah dicampur dengan bahan larangan dipercayai dadah untuk dipasarkan.

Ibrahim berkata, suspek berusia 26 tahun mempunyai tiga rekod kesalahan lampau dan kedua-duanya ditahan reman empat hari sehingga 21 Julai untuk siasatan mengikut Seksyen 12(2) ABD 1952.

Sementara itu, serbuan ketiga pada 5.50 pagi semalam, dua lelaki masing-masing berusia 32 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Dangar.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah menemui empat paket plastik biru yang mengandungi 800 pil yaba (pil kuda) yang disembunyikan di bawah serpihan atap rumah.

"Kita percaya dua lelaki terbabit merupakan sahabat baik dan masing-masing mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

"Keduanya direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 24 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 5:56 PM