Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak menziarahi jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng Datuk Ishak Ismail di rumah kakak arwah di Taman Rashidah Utama, Seremban, pagi ini.

Najib tiba untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham pada jam 10.30 pagi dan meluangkan masa kira-kira 20 minit.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Umno Bahagian Bukit Katil Tan Sri Mohd Ali Rustam, Ahli Parlimen Kuala Pilah Datuk Seri Hasan Malek, Ketua UMNO Jelebu Datuk Jalaluddin Alias dan Ketua UMNO Seremban Datuk Abu Ubaidah Redza.

Allahyarham, 66, meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah, jam 11.25 malam tadi, selepas rebah ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Seri Menanti.

Kakak Allahyarham, Asnah Salleh, 69, berkata jenazah adik bongsunya itu akan disembahyangkan di Masjid Taman Paroi Jaya dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Genting, Pantai, selepas solat Zohor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 12:17 PM
Najib bersama Mohamad (kiri) menziarahi jenazah Allahyarham Ishak di Taman Rashidah Utama, Senawang pagi tadi. FOTO Iqmal Haqim Rosman