Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pintu tiketnya cukup luas membolehkan penumpang berkerusi roda mudah melaluinya, terdapat elevator dari aras bawah hingga tingkat konkos dan platform, tanda huruf Braille pada butang lif serta laluan tanpa bertangga.

Itu antara fasiliti khas bagi orang kurang upaya (OKU) jika mereka menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Ternyata perkhidmatan MRT Laluan SBK yang baru dilancarkan sepenuhnya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin tidak melupakan pengguna OKU.

Selain memiliki fasiliti khas bagi OKU, semua stesen MRT turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti eskalator, lif, pusat khidmat pelanggan, tandas, surau dan telefon awam.

Seorang penumpang, A Santhana, 45 yang ditemui berkata, sistem perkhidmatan itu ternyata mesra OKU malah ruang dalam tren itu juga lebih luas dan selesa.

“Sudah lebih lima tahun saya menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) sama ada ke tempat kerja, menghadiri kursus atau bergerak ke mana saja dalam kawasan bandaraya Kuala Lumpur.

“Hari ini (semalam) kali pertama saya naik MRT untuk ke Bukit Bintang dan saya berpuas hati dengan perkhidmatan ini yang lebih selesa dan sangat efisien.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya bangga negara kita semakin maju dalam perkhidmatan pengangkutan awam darat,” katanya.

Bagi kakitangan swasta Noorsyam Lop, 40 yang ditemui ketika dalam perjalanan ke Stesen Cochrane melahirkan perasaan gembira dan bangga dengan kemudahan itu.

“Memandangkan saya kali pertama guna MRT, jadi hari ini (semalam) saya banyak berswafoto untuk berkongsi dengan keluarga dan rakan.

“Ternyata kemudahan ini sangat membantu pengguna ‘melarikan diri’ daripada kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak khususnya untuk keluar makan tengah hari,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, sejak dibuka jam 4 petang kelmarin, pengguna perkhidmatan MRT Laluan SBK sudah mencecah 100,000 orang.

Katanya, antara permintaan paling tinggi yang dicadangkan pengguna adalah kekerapan tren dan perkhidmatan kemudahan akses Internet Wifi.

“Selain itu, Prasarana juga bercadang untuk memberi potongan diskaun atau penebusan mata ganjaran bagi pemegang Kad MyRapid pada masa akan datang.

“Perkara ini masih dalam perbincangan kerana kita akan berkolaborasi dengan gerai atau outlet yang dibuka di stesen MRT untuk memberikan penebusan mata ganjaran antaranya dalam bentuk minuman percuma,” katanya.

MRT Laluan SBK ini adalah yang pertama daripada tiga laluan sepanjang 51 kilometer dengan 31 stesen.

Najib turut mengumumkan pemberian diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan sehingga 31 Ogos 2017 kepada pengguna perkhidmatan MRT, LRT, Monorel dan BRT Rapid KL.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 6:50 AM
PENGGUNA sempat berselfie ketika menggunakan perkhidmatan.
ORANG ramai mengambil peluang menggunakan perkhidmatan MRT secara percuma.