Ibrahim Isa

 

ibrahim_isa@hmetro.com.my

POLIS Johor menahan tujuh remaja termasuk remaja perempuan berusia 14 hingga 16 tahun dalam beberapa siri tangkapan, malam semalam, kerana memukul rakan sekolah berusia 13 tahun pada  5.30 petang, hari sama.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, mangsa dipukul di depan sekolahnya di Skudai, selepas suspek tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa melaporkan kepada guru tindakan salah seorang daripada mereka memanjat pagar sekolah untuk ponteng.

"Mangsa ditumbuk, ditendang dan dipijak di muka dan badan hingga cedera di kepala, lebam di muka dan belakang badan serta luka di tangan.

"Ketika kejadian, mangsa terpaksa diselamatkan orang awam yang memaklumkan kejadian itu kepada guru dan keluarga mangsa.

"Berikutan kejadian itu, sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menahan ketujuh-tujuh suspek dalam beberapa siri tangkapan.

"Semua suspek ditahan reman hingga 20 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, polis memandang serius kejadian itu dan mengambil tindakan tegas bagi mengelak kemasukan unsur-unsur gangsterisme ke dalam sekolah.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Julai 2017 @ 12:44 AM