ANGGOTA bomba mengambil keterangan daripada rakan mangsa. FOTO ihsan Bomba
Norasikin Daineh

PELAJAR dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Taman Damai Layangan, Labuan, 5.30 petang semalam.

Mangsa Mohd Shahrul Iskandar, 16, dikhuatiri lemas selepas mandi bersama empat rakannya di pantai itu.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Edzrin Tamin berkata, hasil maklumat awal kira-kira jam 4 petang terdapat lima pelajar sekolah menuju ke pantai untuk mandi di kawasan itu.

"Ketika mereka semua mandi di tepi laut, tiba-tiba arus dan ombak menjadi kuat menyebabkan mereka sukar berenang ke kawasan selamat.

"Empat pelajar berjaya menuju ke tepi pantai; bagaimanapun, mangsa gagal menyelamatkan diri daripada ombak kuat, itu" katanya ketika dihubungi, hari ini.

Edzrin berkata, akibat kejadian itu mangsa dihanyutkan ombak dan arus yang kuat.

"Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu menyatakan itu kali terakhir mereka melihatnya," katanya.

Sehubungan itu, Edzrin berkata operasi mencari dan menyelamat segera dilakukan sebaik menerima panggilan pada 4.42 petang semalam.

"Usaha mencari mangsa diteruskan sehingga hari ini bermula 7.30 pagi tadi namun mangsa belum ditemui," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 9:25 AM