Fadil menunjukkan syabu yang dirampas dalam serbuan di sebuah hotel di Tawau, semalam. FOTO Nasrawati Syarifuddin
Nasrawati Syarifuddin
hmkk@hmetro.com.my


POLIS Tawau menahan empat lelaki tempatan bersama-sama syabu seberat 3.87 kilogram (kg) yang disorokkan dalam empat bungkusan plastik teh Cina di sebuah hotel di Tawau, malam semalam.

Pada kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, suspek berusia antara 31 dan 61 tahun terbabit ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Strike Team Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan menerusi Op Bayu selepas pihaknya mendapat maklumat awam dan hasil risikan berhubung aktiviti pengedaran dadah di hotel berkenaan.

Beliau berkata, ketika kejadian, pihaknya menahan suspek pertama di lobi hotel berkenaan, manakala tiga lagi suspek ditahan di luar bangunan dan di dalam sebuah kenderaan berhampiran penginapan itu.

Katanya, pemeriksaan pada badan suspek pertama membawa kepada penemuan kad akses pintu sebuah bilik di hotel sama.

"Pemeriksaan lanjut di bilik hotel berkenaan mendapati ada satu beg hitam di dalam almari berisi empat bungkusan plastik teh Cina berjenama 'Guanyinwang'.

"Bungkusan itu masing-masing didapati mengandungi satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur berisi dadah jenis syabu," katanya pada sidang media di IPD Tawau, hari ini.

Fadil berkata, berdasarkan siasatan awal, dadah itu dianggarkan bernilai RM270,900.

"Suspek ditahan dan dadah itu dirampas sebelum dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, polis turut merampas dua pacuan empat roda iaitu Toyota Land Cruiser dan Toyota Hilux yang dipercayai digunakan oleh suspek.

Beliau berkata, siasatan mendapati tiga daripada mereka bekerja sebagai peniaga, manakala seorang lagi adalah penganggur.

"Bagaimanapun, kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 10:35 PM