Mangsa dikenali sebagai Lee Man Long, 43, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


SEORANG lelaki berusia 43 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan dan melanggar tembok di bahu jalan di Kilometer 12.7, Jalan Genting Highlands - Bentong, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, hasil siasatan kejadian 12.45 tengah hari itu, mendapati motosikal ditunggang mangsa yang dikenali sebagai Lee Man Long, hilang kawalan sebelum terbabas.

“Mangsa dikatakan dari arah Genting Highlands menuju Kuala Lumpur dan setiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggangnya hilang kawalan.

“Motosikal itu kemudian melanggar tembok batu di bahu jalan menyebabkan mangsa terhantuk dan cedera parah di kepala," katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 9:05 PM