Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


DUA kanak-kanak perempuan yang digigit anjing yang dijangkiti virus rabies di Kuala Sepetang, Taiping, pada 4 Julai lalu, disahkan tidak dijangkiti virus berkenaan.

Jabatan Kesihatan Negeri Perak mengesahkan kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun itu bebas daripada wabak anjing gila atau rabies.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata kanak-kanak berkenaan digigit anjing peliharaan keluarga di bahagian kulit mengakibatkan kedua-duanya luka dan berdarah.

“Selepas 11 hari dirawat di Hospital Taiping, kedua-dua kanak-kanak berkenaan disahkan sihat dan luka akibat gigitan anjing sudah sembuh.

“Mereka tidak mengalami tanda-tanda penyakit lain dan kita sudah memeriksa mangsa kelmarin serta semalam,” katanya di Ipoh hari ini.

Menurutnya, suntikan vaksin juga sudah diberi kepada mangsa dan pihaknya memantau perkembangan kesihatan mereka dari semasa ke semasa.

"Kami memandang serius kes wabak berkenaan dan tindakan segera diambil bagi memantau situasinya di Perak," katanya.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam kenyataan di Putrajaya hari ini, mengesahkan menerima aduan pada 13 Julai lalu, mengenai seekor anjing peliharaan yang mati selepas menggigit anak perempuan dan anak saudara pemiliknya di Kuala Sepetang, positif rabies.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 8:50 PM