PUSAT MV Agusta Malaysia yang menempatkan bilik pameran dan tempat servis. FOTO Lizam Ridzuan
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


PENGEDAR tunggal motosikal super premium MV Agusta dari Itali di Malaysia, Moto Varese Asiatic Holdings Sdn Bhd merasmikan MV Agusta Malaysia Life Style Centre di kawasan perusahaan Batu Caves, hari ini.

Berkeluasan 1,800 meter persegi, lokasi ini menyediakan kemudahan 4S seperti ruang pameran dan jualan, alat ganti dan servis untuk jenama itu.

Pengarah Urusannya, Muhamad Zamry Abu Samah berkata, mereka kini menyasarkan untuk membuka tiga lagi pusat seperti ini di Pantai Timur, Johor Bahru dan Sabah atau Sarawak menjelang akhir 2017.

"Buat masa ini pemilik dan bakal pembeli boleh mengunjungi ruang pameran di Batu Caves serta Sungai Dua di Pulau Pinang untuk melihat dekat lebih dekat varian motosikal yang ditawarkan," katanya.


MV Agusta Dragster 800 RR pemasangan tempatan. FOTO Lizam Ridzuan

Selain perasmian diadakan pelancaran model MV Agusta Dragster 800 RR pemasangan tempatan (CKD) dengan harga jualan RM116,000 (atas jalan dengan insurans).

Ia melengkapkan enam model awal untuk pasaran di Malaysia iaitu Brutale 800, Brutale 1090, Turismo Veloce 800, Turismo Veloce 800 Lusso RC dan F4 RR juga bakal melancarkan enam lagi model baharu pada hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 4:12 PM