Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my


RATUSAN ribu rakyat Turki berhimpun di dataran bangunan Parlimen di Ankara sepanjang malam sehingga awal pagi tadi bagi memperingati ulangtahun kegagalan cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai tahun lalu.

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan turut menyampaikan ucapan pada 2.32 pagi waktu tempatan (7.32 pagi waktu Malaysia) sebagai simbolik waktu itu bangunan Parlimen dibom pesawat pejuang yang dirampas pemberontak.

Bangunan Parlimen dijadikan layar gergasi untuk menayangkan semula beberapa bahagian yang musnah dibom pesawat pejuang, pembangunan semula struktur itu dan memaparkan rakyat Turki yang terkorban.

Selain Ankara, rakyat Turki turut berhimpun di bandar besar termasuk Istanbul bagi memperingati peristiwa yang mengorbankan 249 nyawa orang awam yang turun ke jalanan mempertahankan kerajaan daripada ditumbangkan sekumpulan pemberontak terdiri daripada anggota tentera.

Erdogan dalam ucapannya sekali lagi memberi amaran kepada organisasi pengganas yang mendalangi cubaan rampasan kuasa itu, Fetullah Gulen atau FETO bahawa mereka akan ditentang habis-habisan.

“€œMereka fikir mereka sudah dapat melarikan diri tetapi mereka sebenarnya tiada tempat untuk bersembunyi. Mereka sama sekali tidak mampu memecah belahkan Turki dan mereka tidak akan sesekali berjaya.

“Negara ini sudah melalui pelbagai cabaran sejak ribuan tahun lalu dan kami akan terus berdirigagah,” katanya.

Menurutnya, golongan ibu diminta supaya berhenti menangis kerana ahli keluarga yang meninggal dunia tidak akan kembali.

“Tetapi saya berjanji akan mengheret pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan. Jika mereka menyerang Turki sekali lagi walaupun esok, rakyat Turki akan sekali lagi memastikan mereka jatuh melutut,” katanya.


RECEP Tayyip Erdogan menyampaikan ucapan. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid

Dalam peristiwa rampasan kuasa itu, pengikut Fetullah terdiri daripada anggota tentera merampas jet pejuang, helikopter dan kereta kebal.

Bagi mempertahankan kerajaan, Erdogan menerusi satu siaran televisyen menyeru rakyat Turki turun ke jalanan. Seramai 249 nyawa terkorban dengan bangunan Parlimen dibom, ibu pejabat polis diserang selain beberapa bangunan lain turut musnah.

Bagaimanapun rampasan kuasa itu berjaya digagalkan dengan sokongan rakyat dalam tempoh 22 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 10:50 AM
RAKYAT Turki berhimpun di dataran bangunan Parlimen. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid