KETIGA-TIGA suspek dibawa ke IPD Kota Kinabalu.
Mohd Ruzaini Zulkepli
am@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Tiga sekawan dipercayai menyamun dan mencabul dua wanita ketika mangsa bersenam di Taman Awam Teluk Likas, baru-baru ini, diberkas dalam tangkapan berasingan di Kampung Likas, dekat sini.

Dalam kejadian jam 11 malam, Selasa lalu, ketiga-tiga suspek berusia antara 16 hingga 20 tahun ditahan polis di dua rumah di kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, berdasarkan siasatan awal, tiga lelaki itu dipercayai terbabit secara langsung dengan kes samun dan cabul di Taman Awam Teluk Likas pada 4 Julai lalu.

“Polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai milik seorang mangsa dalam kes itu.

“Dengan tertangkapnya ketiga-tiga suspek ini, polis menganggap berjaya menyelesaikan kes samun dan cabul berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Chandra berkata, ketiga-tiga suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan masing-masing kerana samun berkumpulan dan cabul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 6:07 AM