ZUHAIRI (kanan) menziarahi Namat di Taman Peruda, semalam.
Omar Osman
am@hmetro.com.my


Sungai Petani: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) akan menyambung semula skim bantuan kebajikan yang disalur sebelum ini kepada bekas atlet selepas dibekukan sejak dua bulan lalu.

Pengurus Besarnya, Zuhairi Badul Manaf berkata, sebelum ini skim bantuan atau surat jaminan (GL) daripada yayasan itu dibekukan sejak 1 Mei lalu ekoran peruntukan yang terima lewat menyebabkan skim itu terpaksa dibeku sementara waktu.

Katanya, lazimnya pada Mac, YAKEB akan menerima dana melalui Kementerian Kewangan, tetapi tahun ini peruntukan itu lewat sedikit.

“Namun atas keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau menyalurkan dana RM3 juta dua hari sebelum Aidilfitri lalu.

“Jadi bermula 1 Ogos ini, kita mengeluarkan semula GL buat bekas atlet yang mendapatkan rawatan di hospital yang dibeku sebelum ini.

“Ini memberi kelegaan kepada sebahagian besar bekas atlet yang begitu mengharap bantuan daripada aspek perubatan yang disalurkan yayasan ini,” katanya selepas menziarahi dan menyampai sumbangan kepada legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Namat Abdullah di rumahnya di Taman Peruda, semalam.

Hadir sama bekas jurulatih kebangsaan, Datuk M Kuppan dan Pengurus Operasi YAKEB, Aminuddin Mohd Nasir.

Sementara itu, Namat berkata, beliau amat terharu dengan keperihatinan YAKEB yang sentiasa mengambil berat terhadap kebajikan bekas atlet kebangsaan dan tampil membantu.

“Saya berterima kasih kepada YAKEB kerana sentiasa mengambil berat dan sering bertanya khabar saya, begitu juga Kuppan dan rakan lain yang amat mengambil berat masalah kesihatan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 5:17 AM