Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


WANITA maut dan enam lagi cedera termasuk seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 95.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Tebing Tembah, Dungun petang hari ini.

Kejadian kira-kira 3 petang itu dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Alza yang dinaiki lima sekeluarga dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu dipercayai terbabas ke kanan jalan.

Kereta terbabit kemudiannya melepasi penghadang jalan sebelum bertembung dengan sebuah van dipandu seorang lelaki yang datang dari arah bertentangan.

Wanita yang belum dikenal pasti identitinya itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa cedera pula dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Zulkifli Mohd Ali berkata, sepasukan pegawai dan lima anggota bomba dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setibanya di lokasi pihaknya dapati mangsa yang meninggal dunia dan cedera dalam kereta sudah dibawa keluar oleh orang ramai daripada kenderaan itu manakala pemandu van yang tersepit dibantu oleh pihaknya.

"Mayat wanita berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 5:44 PM
SEORANG daripada mangsa dikejarkan ke hospital. FOTO Rosli Ilham