FOTO hiasan
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


ELAUN bagi pelajar pengajian Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dihentikan mulai Jun tahun depan.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya tetap menanggung sepenuhnya yuran pengajian bagi program itu berjumlah RM27,831 sepanjang pengajian selama tempoh empat tahun.

Katanya, pelajar IPG sedia ada iaitu bagi ambilan sebelum Jun 2017 akan terus menerima elaun sara diri seperti yang diselaraskan mulai 1 Januari 2017, iaitu pada kadar RM430 sebulan, selain belanja tambang pergi balik pada kadar maksimum RM500 untuk sekali dalam setahun sehingga tamat pengajian.

"Bagi pelajar ambilan Jun 2017, tiada elaun akan diberikahn mulai Jun 2018," katanya.

Sementara itu, bagi pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) ambilan baharu Jun 2017, bayaran elaun sara hidup RM430 sebulan dan belanja tambang balik pada kadar maksimum RM500 sekali setahun akan terus dibayar sepanjang tempoh program iaitu selama satu tahun.

Dalam pada itu, katanya, IPG sudah berbincang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) untuk menyenaraikan IPG sebagai salah satu agensi penerima PTPTN bagi membolehkan pelajar IPG yang akan menyambung pengajian ke peringkat PISMP mulai Jun tahun depan menerima kemudahan pinjaman wang sara hidup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 1:55 PM