MD Nasir (kiri) dan Lokmanolhakim dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas dijatuhi hukuman.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my


Melaka: Dua sahabat dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM500 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, semalam, selepas mengaku bersalah mencuri dua periuk memasak bernilai RM100, awal bulan ini.

Tertuduh, Md Nasir Harun, 55, dan Lokmanolhakim Mohd Tahir, 29, mengaku bersalah di depan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, mereka didapati bersama-sama mencuri dua periuk memasak bernilai RM100 kepunyaan Khairan Ahmad, 57, di sebuah bangunan yang digunakan untuk tempat menyimpan harta.

Kesalahan itu dilakukan mereka pada jam 10.55 malam di Batu 6, Lereh, Tanjung Kling, 5 Julai lalu.

Justeru, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Md Nasir bagaimanapun merayu hukuman terhadapnya diringankan dan berjalan dari tarikh ditangkap iaitu 5 Julai lalu.

Lokmanolhakim pula memberitahu dia kini menanggung dua anak berusia tiga dan empat tahun, selain sudah insaf dengan perbuatannya itu.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, Norina memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara seminggu dari tarikh ditangkap dan denda RM500 atau dua bulan penjara jika gagal membayarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 8:39 AM