Laporan portal berita Harian Metro mengenai rungutan harga bihun sup sebuah gerai di Kepala Batas yang dikatakan mahal.
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


PEMILIK gerai bihun sup di Kepala Batas, Pulau Pinang, yang tular sebelum ini kerana harga makanannya dikatakan mahal, dikompaun serta diberi notis agar mematuhi peraturan meletak tanda harga bagi mengelak pengguna keliru susulan aduan pelanggan di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Seberang Prai Utara (SPU) Zalina Aziz berkata, pihaknya membuat pemeriksaan di gerai berkenaan pada 3.30 petang Rabu lalu, selepas meneliti aduan pelanggan yang disiarkan di media sosial sehari sebelumnya.

Katanya, ketika pemeriksaan, pihaknya mendapati ada tanda harga diletakkan namun agak mengelirukan lalu mengeluarkan notis kepada pemilik gerai terbabit.

"Memang ada tertera tanda harga bihun sup antara RM5 hingga RM30 semangkuk tetapi ia boleh mengelirukan pelanggan.

"Jadi, kami mengeluarkan notis kepada pemilik gerai terbabit memintanya mematuhi peraturan meletakkan tanda harga agar tidak mengelirukan pelanggan dengan menyatakan harga bihun sup bagi saiz mangkuk yang berbeza," katanya di Georgetown, semalam.

Menurut Zalina, pihaknya turut mengenakan kompaun kepada pemilik gerai terbabit selain mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 11:48 PM