Asmah Rusman
asmah_rusman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pembukaan fasa kedua perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) Isnin ini akan meningkatkan liputan rangkaian rel di Lembah Klang.

Menurut Pengarah Projek Laluan SBK, Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Marcus Karakashian, semua tujuh stesen pertukaran mula beroperasi dan rangkaian itu membenarkan pengguna bertukar daripada perkhidmatan MRT ke perkhidmatan rel lain dengan mudah.

“Stesen pertukaran dalam fasa kedua ini membabitkan Stesen Muzium Negara, Pasar Seni, Merdeka, Maluri dan Kajang.

“Sambungan kawasan berbayar dapat menghubungkan antara dua stesen atau lebih dan pengguna tidak perlu keluar ke mana-mana pintu tiket atau membeli tiket baru ketika bertukar perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media sempena pembukaan keseluruhan Laluan SBK, di sini, semalam.

Dalam taklimat itu, kumpulan media dibawa meninjau kemudahan Stesen Muzium Negara, Pasar Seni dan Bukit Bintang.

Menurut Karakashian, tujuh kemudahan Park n Ride menyediakan lebih 4,000 tempat letak kereta disediakan bagi menggalakkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan itu untuk berulang-alik ke pusat bandar.

Kemudahan itu disediakan di Stesen Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukung dan Sungai Jernih serta Phileo Damansara.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, Laluan SBK dapat menangani masalah kesesakan lalu lintas secara drastik di Lembah Klang.

“Apabila anggaran 400,000 penumpang menggunakan Laluan SBK setiap hari, ini bermakna kami menjangka dapat mengurangkan 160,000 kenderaan di atas jalan setiap hari,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi faktor menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan berkenaan ialah faktor tambang berpatutan.

Katanya, misalnya, tambang tiket dari Sungai Buloh ke Kajang hanya RM5.50 dengan penggunaan kad Touch N’ Go dan RM4.60 untuk bayaran tunai dan masa perjalanan 84 minit.

“Pengguna MRT mendapat banyak faedah dari segi ekonomi, penjimatan kos dan masa serta dapat melakukan perjalanan dengan selesa,” katanya.

Laluan SBK mempunyai 31 stesen dengan 19 stesen baru bagi fasa kedua laluan Semantan-Kajang termasuk tujuh stesen bawah tanah.

Stesen laluan Semantan-Kajang terletak di Muzium Negara, Pasar Seni, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange Centre, Maluri, Cochrane, Taman Pertama, Taman Midah, Taman Connaught. Taman Mutiara, Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 11, Cheras, Bukit Dukung, Sungai Jernih, Merdeka, Stadium Kajang dan stesen Kajang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Julai 2017 @ 12:10 PM
PELBAGAI kemudahan disediakan untuk penumpang di Stesen Muzim Negara, Pasar Seni dan Bukit Bintang.
PELBAGAI kemudahan disediakan untuk penumpang di Stesen Muzim Negara, Pasar Seni dan Bukit Bintang.