Antara waris mangsa MH17 yang menghadiri majlis memperingati MH17 di Putrajaya, hari ini. - Foto MOHD FADLI HAMZAH
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

MALAYSIA yakin dapat mengheret dalang terbabit dalam tragedi membabitkan pesawat MH17 yang mengorbankan 289 anak kapal dan penumpang ke muka pengadilan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, siasatan terperinci dilakukan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) dengan mengumpul semua maklumat dan data pelbagai aspek, termasuk menerusi Internet serta media sosial Facebook dan Twitter.

Katanya, 200 saksi juga sudah diambil keterangan oleh JIT.

“Kita juga menerangkan kepada waris mengenai keputusan kerajaan untuk melakukan pendakwaan melalui undang-undang Belanda dan ini penting untuk mendakwa penjenayah dalam kes ini," katanya selepas majlis memperingati MH17 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, 90 waris daripada 43 keluarga hadir di majlis berkenaan yang diadakan secara tertutup.

Hadir sama, Pengerusi Malaysia Airlines Tan Sri Md Nor Md Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Peter Bellew.

Pada 17 Julai 2014, pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki di timur Ukraine.

Semua 298 penumpang dan anak kapal terkorban dan daripada jumlah itu, 44 orang adalah rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 7:59 PM