Laporan HM dan laman FB ‘Harian Metro Online MY’ sudah tiada.
Mohd Hanafis Abdul Haris
hanafis@hmetro.com.my


Laman Facebook (FB) menggunakan nama ‘Harian Metro Online MY’ yang cuba 'menjaja' penderitaan adik Dhia Aisyah Mohamad Faizal berusia 2 tahun sejak kelmarin sudah tiada hari ini.

FB menyatakan kandungan terbabit tidak boleh didapati buat masa ini (Sorry, this content isn't available right now).

Muka hadapan akhbar Harian Metro (HM) bertajuk 'Dajal Facebook' hari ini melaporkan terdapat pemilik akaun FB ‘Harian Metro Online MY’ cuba meminta dana untuk kanak-kanak yang sakit rosak hati dan jantung sejak kelmarin.

Tanpa rasa bertanggungjawab, laman FB itu secara terang-terangan memohon ihsan orang ramai untuk menderma bagi membiayai pembedahan adik Dhia Aisya Azman sebanyak RM75,000.

Selain menyiarkan nombor akaun bank yang tiada kena mengena dengan kanak-kanak terbabit, status itu turut mengubah nama sebenar mangsa, Dhia Aisyah Mohamad Faizal kepada Dhia Aisya Azman manakala duit sumbangan disalurkan kepada akaun atas nama seorang lelaki, Azman Abdullah.

Malah, sehingga semalam, status palsu itu sudah menerima 6,600 likes serta lebih 2,000 perkongsian.

Berikutan itu, HM semalam membuat laporan polis bagi mengelakkan kekeliruan pengguna FB.

Laporan dibuat Pengarang Berita Online unit Digital HM Asmizan Mohd Samiran di Balai Polis Pantai, Brickfields, jam 3.24 petang.

Pada masa sama, HM turut membuat laporan kepada pihak Facebook bagi menurunkan laman palsu berkenaan hari sama.

Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Ahmad @ Salim Bachok dipetika berkata, HM tidak pernah mengendalikan atau menggunakan laman FB Harian Metro Online MY untuk paparan berita semasa.

Menurutnya, akhbar ini sebaliknya menggunakan laman Facebook atas nama Harian Metro yang mempunyai perakuan pihak FB sendiri.

Laman rasmi Harian Metro ialah www.hmetro.com.my, laman FB menerusi nama Harian Metro, aplikasi HM Mobile, Twitter @hmetromy dan Instagram @hmetromy.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 7:09 PM