PENDATANG asing tanpa izin yang ditahan dibawa ke Mahkamah Sesyen Sepang untuk didakwa. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


LIMA PULUH EMPAT pendatang asing tanpa izin (PATI) didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini susulan Ops Mega E-Kad yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula 1 Julai lalu.

Kesemua PATI yang terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia dan Thailand itu didakwa mengikut pelbagai kesalahan iaitu Seksyen 6(1) (c); Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa JIM Putrajaya dan Shah Alam di hadapan Hakim Sesyen Saifulakmal Mod Said Hakim di Mahkamah Sesyen Sepang.

Kesemua PATI berkenaan ditahan dalam operasi bermula 1 Julai lalu di beberapa lokasi sekitar Shah Alam dan Putrajaya susulan tamatnya tempoh pendaftaran program kad sementara Enforcement Card (E-Kad).

Seramai 25 PATI ditahan di sekitar Shah Alam, Selangor manakala, 29 yang lain ditahan di sekitar Putrajaya.

Sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah, kesemua tertuduh faham kertas pertuduhan dan mengaku bersalah.

Saifulakmal kemudian menetapkan kesemua tertuduh dikenakan hukuman penjara masing-masing antara sebulan hingga tiga bulan dari tarikh ditangkap manakala, ada antara mereka dikenakan denda RM800.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 2:22 PM