ANTARA ahli keluarga mangsa nahas pesawat MH17 hadir pada Majlis Peringatan Sempena Ulang Tahun Tragedi Nahas Pesawat MAS MH17. FOTO Aizuddin Saad
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


SESI taklimat bersama waris mangsa pesawat Malaysia Airlines MH17 berlangsung di hotel di Putrajaya, hari ini bagi memaklumkan mengenai perkembangan terkini kes berkenaan.

Kira-kira 10 pagi, kelihatan ahli keluarga dan waris mangsa tragedi itu tiba di hotel bagi menghadiri majlis berkenaan.

Taklimat yang diadakan itu turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Malaysia Airlines, Tan Sri Md Nor Md Yusof; dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew.

Bagaimanapun, majlis yang berlangsung sempena memperingati insiden berkenaan diadakan secara tertutup dan liputan oleh pihak media tidak dibenarkan.

Difahamkan, ia adalah permintaan daripada waris terbabit.

Pada 17 Julai 2014, pesawat MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki di kawasan bergolak di timur Ukraine.

Ekoran kejadian itu, semua 298 penumpang dan anak kapal terkorban termasuk 44 adalah rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 1:18 PM