ANGGOTA bomba memotong cincin pada jari manis lelaki di BBP Ampang.

Ampang: Seorang lelaki terpaksa menanggung azab kesakitan lebih setengah jam apabila cincin besi disarung pada jari manis tangan kanannya gagal ditanggalkan.

Dalam kejadian jam 3.30 petang kelmarin, mangsa berusia 20-an mula berasa sakit selepas jarinya itu membengkak.

Susulan itu mangsa yang tidak dapat menahan kesakitan pergi ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang bagi memotong cincin itu.

Ketua BBP Ampang berkata, mangsa datang ke balai bomba dan meminta bantuan daripada anggota yang bertugas.

“Mangsa dilihat menahan kesakitan apabila jarinya membengkak disebabkan cincin itu,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk menanggalkan cincin berkenaan dengan menggunakan alat pemotong khas.

“Difahamkan mangsa cuba menanggalkan dengan menggunakan buih sabun namun usahanya gagal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 7:11 AM