Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


JABATAN Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan berbincang dengan kerajaan Sabah dan Sarawak untuk melaksanakan program suntikan pelalian anti rabies (anjing gila) di sempadan kedua-dua negeri itu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, program itu penting bagi mengawal jangkitan virus rabies dari negara jiran.

"Kita berhasrat memperluaskan program vaksin ini di Sabah dan Sarawak sama seperti dilaksanakan di pintu sempadan di negeri Semenanjung iaitu di Kelantan, Kedah dan Perlis.

"Kes yang berlaku di Sarawak baru-baru ini, berkemungkinan akibat jangkitan virus anjing dari negara jiran memandangkan Sabah dan Sarawak bebas virus rabies," katanya di Majlis Sambutan Raikan Syawal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Putrajaya, hari ini.

Majlis itu turut disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Media sebelum ini melaporkan dua beradik, Monica dan Jackson Mazlan masing-masing berusia enam dan empat tahun di Kampung Paon Rimu Bakung, meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak (HUS) 4 Julai lalu, selepas dijangkiti wabak itu sejak awal Jun.

Sementara, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dari Kampung Lebur di Gedong, Serian, masih dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Quaza Nizamuddin berkata, melalui pelaksanaan program berkenaan, anjing yang berada berhampiran

sempadan negeri terbabit perlu diberikan suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan.

Dr Quaza Nizamuddin berkata, bekalan vaksin rabies masih mencukupi kerana pihaknya menyimpan 20,000 stok sebagai langkah persediaan.

“Kita sudah menghantar 6,000 dos dan sehingga kini, sebanyak 2,000 dos sudah disuntik kepada anjing yang berada berhampiran kawasan penularan virus rabies.

"Malah, pegawai JPV juga sudah berjaya memasuki kira-kira 30 daripada 68 kampung di lokasi berkenaan untuk melakukan suntikan, dankita memerlukan masa untuk mencegah penularan virus ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 5:21 PM