Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor menegaskan bahawa pihaknya menjalankan siasatan serta pemeriksaan dan berpuas hati tiada unsur pengabaian atau penderaan sebelum menyerahkan semula Allahyarham Muhamad Al Fateh Abdullah, 21 bulan, kepada keluarga angkatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Asiah Md Ariff berkata, siasatan dan pemeriksaan itu dilakukan terhadap fizikal bayi berkenaan, keluarga angkatnya serta tempat tinggalnya selepas ibu bapa angkat itu merayu supaya JKM tidak menghantar bayi mereka ke pusat perlindungan.

"Pada 6 April lalu, pihak hospital menghubungi JKM dan meminta kami hadir bagi menjalankan siasatan susulan seorang pesakit mereka yang disyaki didera.

"Bayi itu ditahan di wad akibat nafasnya yang laju selain didapati terdapat parut di badannya.

"JKM menjadi pegawai pelindung kepada bayi berkenaan dan sementara siasatan dijalankan, dia sepatutnya ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak di Johor Bahru.

"Bagaimanapun, pada 9 April lalu, ibu bapa angkatnya berjumpa dan merayu supaya tidak menempatkan bayi itu di sana dan berjanji tidak akan berlaku lagi perkara yang tidak diingini," katanya ketika sidang media di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan dan pemeriksaan dijalankan JKM kemudian berpuas hati tiada unsur pengabaian atau penderaan berlaku ke atas bayi berkenaan sebelum memutuskan untuk menyerahkan semula bayi itu kepada keluarga angkatnya.

Asiah berkata, Muhamad Al Fateh diserahkan ibu kandungnya kepada keluarga angkat itu sejak dilahirkan pada 20 September 2015, malah ibu angkatnya juga adalah ibu susuan bayi itu.

"Hasil dapatan JKM, kita nampak keluarga angkat bayi ini amat menyayanginya dan antara sebab mereka tidak mahu bayi ini ditempatkan di rumah perlindungan juga adalah mereka tidak mahu berjauhan kerana sudah menjaganya sejak lahir," katanya.

Menurut Asiah, bayi itu sudah empat kali dimasukkan ke hospital dalam tempoh November 2016 hingga Julai 2017 bagi menjalani rawatan berhubung penyakit berjangkit iaitu tibi.

Katanya, pada November tahun lalu, pihaknya juga pernah menerima panggilan hospital bagi kes bayi itu selepas menjumpai kesan retak lama pada tangan kanannya dan ketika siasatan serta pemeriksaan dilakukan dalam tempoh itu juga tiada unsur pengabaian dipercayai berlaku.

Ibu bapa angkat bayi berkenaan mempunyai tujuh anak kandung berusia setahun hingga 14 tahun.

Bagaimanapun, Asiah berkata, pihaknya menunggu laporan bedah siasat yang dijalankan hospital pada hari ini dan akan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 12:22 PM