Bot nelayan asing ditahan kerana disyaki menangkap ikan tanpa kebenaran di perairan negara. FOTO Ihsan APMM
Helmy Abd Rahman
helmy_rahman@hmetro.com.my


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang tekong bersama 12 awak-awak dipercayai warga Vietnam yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan sebuah bot, semalam.

Kesemua mereka berusia 18 hingga 52 tahun ditahan kira-kira 54 batu nautika dari perairan Kemaman, dalam Operasi Pagar Laut, 5.15 petang.

Pengarah Maritim Wilayah, Wilayah Maritim Timur APMM Laksamana Pertama Maritim Datuk Mamu Said Alee berkata, semua nelayan terbabit ditahan kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara ini tanpa kebenaran sah.

Katanya, mereka kemudian dibawa ke jeti Pangkalan Maritim Kemaman, Terengganu untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985.

"Selain itu, dokumen permit bot yang meragukan akan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

"APMM juga merampas tangkapan sotong dianggarkan seberat 1,000 kilogram," katanya.

Katanya, operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan asing di perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2017 @ 9:45 PM