Keadaan rumah WANITA yang ditemui mati selepas dipercayai bunuh diri di Pekan Manggatal, Kota Kinabalu, semalam. FOTO ihsan PDRM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


WANITA ditemui mati selepas dipercayai bunuh diri di rumah di Pekan Manggatal, Kota Kinabalu, semalam.

Wanita berusia 20 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh ibunya di dalam tandas rumah itu pada 9 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, polis menerima laporan pada 10 malam mengenai kejadian itu.

"Hasil siasatan awal, ibunya yang baru tiba di rumah cuba menghubungi anaknya melalui telefon bimbit tetapi tidak berjawab.

"Ketika ibunya membuka pintu tandas, dia mendapati anaknya itu duduk di kerusi dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bibir pucat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Chandra, ibu wanita itu segera mendapatkan bantuan daripada jiran dan membuat panggilan kecemasan.

"Hasil pemeriksaan daripada pegawai perubatan, mangsa disahkan dipercayai meninggal dunia sejak 2 petang.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk dibedah siasat," katanya.

Chandra berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia kerana lemas disebabkan asap arang yang dibakar di dalam tandas.

"Mangsa menutup tingkap dan pintu kemudian duduk di dalam tandas itu.

"Punca mangsa bunuh diri masih dalam siasatan dan polis mengklasifikasikan ia sebagai mati mengejut," katanya.

Caption

1. MANGSA bunuh diri dalam tandas di sebuah rumah di pekan Manggatal, Kota Kinabalu.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 9:33 PM